Wednesday, June 12, 2013

Hospital #2

Julia masih dalam rawatan. Dia perlukan ubat. Ubat yang dikutip pada bulan lepas sudah sampai ajal untuk dibuang dalam tong sampah. Oleh itu, seru tanggungjawab untuk dia ke temujanji doktor bulan ini juga sudah sampai. Julia bergegas ke hospital. Kali ini cuaca tidak hujan seperti perasaannya sebelum ini. 

"Sabar Cik Julia. Duduk dulu."

Doktor seolah-olah sudah pasti akan ketibaan Julia ke pejabat medikalnya. Julia cuba mengawal nafas kasarnya itu. Dia tidak berkata apa-apa, terus duduk. Dia tidak mahu apa-apa tindakannya menunjukkan dia tidak hormat kepada bakat seorang doktor. Generous lie.

"Saya difahamkan ubat yang saya beri bulan lepas tak efektif. Saya tak rasa awak tersalah baca preskripsi. Jadi, anggapan yang saya boleh buat ialah sama ada awak memang menepati fitrah manusia yang memiliki minda separuh sedar untuk menjadi degil atau proses kepulihan awak ni memang tak dapat keredhaan."

Julia masih membisu. Dia memang sengaja membiarkan doktor itu sendiri yang akan menentukan kebarangkalian yang bakal berlaku. Takpelah, nak mati tak boleh, nak hidup dalam dunia semua dosa jadi halal pun tak boleh jugak. Mungkin itu yang difikirkan oleh Julia ketika itu. 

"Takpe. Saya faham, pesakit kita memang takkan pernah ada yang terus tanya bila boleh ambil ubat. Saya ada dua pil kapsul. Warna merah untuk tidur selama-lamanya. Tempoh kontrak kehidupan awak akan dibatalkan serta-merta, tapi awak akan selama-lamanya percaya yang awak masih bermimpi. Dunia akan jadi seronok sebab awak bermimpi, tapi tak akan ada jalan keluar. Warna biru untuk mati sekejap lagi bersama-sama dengan memori. Semua akaun sosial awak diminda orang lain akan dibekukan, tapi awak akan hidup dalam diri orang lain. Cuma awak takkan tahu diri awak dihidupkan semula. Majoriti pesakit kami ambil pil ini. Situasi akan menjadi ironi apabila orang yang sama datang ke hospital ini kerana masalah yang sama. Tak mustahil saya akan jumpa awak semula dalam orang lain."

Julia memandang kedua-dua pil tersebut yang diletakkan diatas tapak tangan doktor berlainan belah mengikut warna. Julia memandang doktor beberapa saat, kemudian mengalihkan pandangannya ke kiri doktor itu sedikit. 

"Iodin ada lagi tak doktor? Luka saya kat dalam, tapi sikit je ni."

0 review: