Thursday, March 14, 2013

Hospital

Hujan selebat-lebatnya. Begitu juga dengan hati seseorang yang sedang berjalan menuju ke Rumah Rawat itu. Julia tidak berkenan dengan perkataan 'Rumah Sakit' kerana baginya penumpang didalam itu selama-lamanya tidak akan sembuh dengan motivasi tajuk yang tak membantu. Apa tujuan Julia ke Rumah Rawat itu? Apa yang perlu dirawat? Atau siapa yang dirawat? Konspirasi persoalan normal. 

Julia ke kaunter resepsi untuk mengambil nombor. Kes dia agak istimewa kerana dia perlu berpuasa dari jam dua belas tengah malam sebelum pemeriksaan kesihatan tersebut. Hal ini adalah untuk memastikan tiada interaksi kimia yang berlaku antara gula dan hemoglobin. Syahwat terhadap makanan diharamkan, sekurang-kurangnya untuk sebelum pemeriksaan. Setelah mendapat nombor giliran, Julia berjalan menuju ke Makmal Diagnosis sambil membawa hati yang masih mengalami cuaca yang sama dengan kawasan luar kompaun. 

Seorang peguam makmal mengarahkan Julia untuk duduk di atas kerusi dimana darahnya akan diambil. Tujuannya? Untuk mengenalpasti bukti sama ada Julia patut disabitkan kesalahan atau dibuktikan bebas dari jenayah yang dilaporkan. Jarum yang tajam, ditikam masuk untuk menggeledah dokumen yang ada pada Julia. Julia redha. Dari tadi dia cuba telan air liur yang sudah tidak tahan untuk menjadi saksi kepada lidah yang terkelu. Selepas jarum dikeluarkan, Julia cuba pula untuk menahan air mata yang sudah tidak tahan untuk bersubahat dengan mata. Peguam tadi senyum, walhal belum sempat pun dia menguji sampel darah tersebut. 

"Itu masalah sebenar awak. Awak terlalu pengecut. Awak takut untuk menerima kesalahan, awak takut nak ambil gula dan yang paling penting, awak membiarkan diri awak menerima pandangan orang lain yang merasakan awak tak layak untuk menikmati hidup. Nah, ambil kupon sarapan ni, lepas tu awak terus pergi kaunter farmasi untuk ambil ubat"

Lalu Julia pun ke kaunter farmasi, untuk menuntut beg kertas yang berisi beberapa alamat rumah yang dipasangkan dengan beberapa kad kecil bertulis "I'm Sorry".

0 review: